PELAN DAERAH & PELAN TEMPATAN

 

PENGENALAN

Skim-skim Perancangan (Planning Schemes) merupakan pelan induk perancangan gunatanah yang mengandungi zon-zon gunatanah bagi kawasan-kawasan yang dikehendaki di setiap daerah di Sabah. Terdapat dua jenis skim perancangan iaitu Pelan Daerah dan Pelan Tempatan. Secara amnya, Pelan Daerah (District Plan) merangkumi keseluruhan daerah tersebut termasuklah kawasan perairannya (sekiranya daerah tersebut termasuk kawasan laut). Manakala, Pelan Tempatan (Local Plan) merangkumi kawasan tumpuan pembangunan seperti di kawasan bandar dan pekan.

Contoh Pelan Daerah (Pelan Daerah Sandakan)
Contoh Pelan Daerah (Pelan Daerah Sandakan)

 

Contoh Pelan Tempatan (Pelan Tempatan Sandakan)
Contoh Pelan Tempatan (Pelan Tempatan Sandakan)

Seperti contoh yang dipaparkan di atas, zon-zon gunatanah yang digunapakai dalam skim perancangan datang dalam skim warna berbeza bagi menunjukkan jenis aktiviti pembangunan yang dibenarkan di kawasan-kawasan dalam lingkungan skim perancangan.

 

KEPENTINGAN SKIM PERANCANGAN DALAM PEMBANGUNAN SABAH

Secara amnya, skim perancangan merupakan pelan induk perancangan gunatanah di setiap daerah di Sabah. Skim perancangan ini diperlukan bagi memastikan sebarang pembangunan yang dilaksanakan adalah terkawal dan selaras dengan zon-zon gunatanah yang terkandung dalam skim perancangan. Berikut adalah antara faktor-faktor utama sebarang pembangunan harus sejajar dengan skim perancangan diperlukan di Sabah:

  • Memastikan pembangunan sesuatu daerah adalah terancang, terkawal dan teratur.
  • Memastikan kawasan tanah adalah cukup untuk menampung keperluan jangkaan (projected) pertambahan penduduk.
  • Memastikan tiada konflik pembangunan.
  • Memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk terjaga.
  • Memastikan kawasan sensitif alam sekitar dan sumber semulajadi terpelihara.
  • Memberi keyakinan kepada pemaju termasuk pelabur luar mengenai strategi pembangunan gunatanah daerah.
  • Memastikan piawaian dan garispanduan berkaitan dapat dikuatkuasa dan dijalankan dengan mudah.

 

PROSES PENYEDIAAN SKIM-SKIM PERANCANGAN

Berdasarkan kepada Seksyen 6, Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap. 141), proses penyediaan Skim-skim Perancangan adalah dipertanggungjawabkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah masing-masing. Sebagai contoh, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu adalah bertanggungjawab untuk ,menyediakan skim perancangan di daerah Kota Kinabalu. Begitu juga di Majlis Daerah Nabawan di mana sebagai PBT di daerah Nabawan, ia juga dipertanggungjawabkan untuk menyediakan skim perancangan di daerah berkenaan. Proses penyediaan skim perancangan terbahagi kepada lima (5) fasa seperti berikut berdasarkan kepada Ordinan:

 

JUMLAH PELAN DAERAH DAN PELAN TEMPATAN

Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 25 Pelan Daerah dan 45 Pelan Tempatan yang telah disediakan sebagai panduan kawalan pembangunan.

SOALAN-SOALAN LAZIM

  1. Berapa lamakah tempoh yang diperlukan bagi menyiapkan sesuatu skim perancangan?
  2. Tempoh yang diperuntukkan adalah selama 6 hingga 12 bulan dan ia bergantung kepada faktor seperti keluasan sesuatu daerah atau kawasan tumpuan tersebut.

  3. Adakah Jabatan Perancang Bandar & Wilayah Sabah (JPBW) mempunyai peranan dalam penyediaan skim perancangan?
  4. Tanggungjawab penyediaan skim perancangan adalah jatuh kepada Pihak Berkuasa Tempatan di setiap daerah di Sabah. Walaubagaimanapun, JPBW berperanan bagi memastikan skim perancangan yang disediakan oleh PBT adalah selaras dengan dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang terkandung dalam Pelan Struktur Negeri. Tambahan, perkara-perkara lain seperti penggunaan skim warna untuk zon-zon gunatanah adalah diselaraskan dan ditetapkan oleh JPBW bagi memastikan keseragaman. Sebagai tambahan, JPBW juga diberi mandat oleh kebanyakkan PBT di Sabah untuk menyediakan skim-skim perancangan bagi pihak mereka.

  5. Berapa lamakah tempoh yang diberikan untuk orang awam memeriksa draf skim perancangan yang disediakan oleh PBT?
  6. Tempoh yang diberikan adalah bergantung kepada budi bicara PBT berkenaan.

  7. Adakah orang awam diberi peluang untuk memberikan pandangan terhadap draf skim perancangan yang disediakan?
  8. Ya. Seksyen 7, Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap. 141) memberi peluang kepada orang awam untuk memeriksa dan memberi bantahan (sekiranya ada) dan cadangan terhadap draf skim perancangan yang disediakan.

  9. Bagaimana saya ingin tahu samada wujudnya skim perancangan di kawasan saya?
  10. Anda boleh berhubung dengan Pihak Berkuasa Tempatan di daerah anda untuk mengetahui status penyediaan skim perancangan di kawasan yang dikehendaki.

  11. Berapa lama tempoh penguatkuasaan skim perancangan?
  12. Tempoh perlaksanaan sesuatu skim perancangan adalah selama 5 tahun. Dalam erti kata lain, skim perancangan biasanya disemak semula setiap 5 tahun dengan mengambilkira perubahan seperti maklumat statistik terkini dan dasar-dasar dan cadangan-cadangan Kerajaan, terutamanya yang terkandung dalam Pelan Struktur Negeri.

  13. Saya ingin membangunkan tanah saya. Adakah saya perlu merujuk skim perancangan terlebih dahulu sebelum memulakan pembangunan?
  14. Ya. Anda digalakkan untuk mengetahui zon gunatanah yang dikuatkuasakan di kawasan tanah anda agar pembangunan yang dirancang adalah selaras dengan skim perancangan di kawasan tersebut.

  15. Adakah skim perancangan disertai dengan dokumen lain?
  16. Sebagai makluman, setiap skim perancangan adalah disertakan dengan dokumen sokongan yang mengandungi syarat-syarat tambahan mengenai perancangan di kawasan-kawasan yang merangkumi skim perancangan tersebut.

  17. Bagaimana saya boleh mendapatkan skim perancangan ini?
  18. Skim perancangan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 10, Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap. 141) akan diedarkan untuk pemeriksaan awam dengan budi bicara PBT.