PELAN STRUKTUR NEGERI

 

PENGENALAN

Pelan Struktur Negeri merupakan sebuah dokumen perancangan tertinggi yang menerangkan dasar-dasar perancangan fizikal oleh Kerajaan untuk pengurusan gunatanah jangka panjang negeri Sabah. Sebarang dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang merangkumi bidang alam sekitar, sosio-ekonomi dan infrastruktur dijelaskan secara makro dan menyeluruh.

Seksyen 4C, Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap. 141) telah memperuntukkan dengan jelas bahawa Pelan Struktur Negeri haruslah disediakan oleh Jabatan Perancang Bandar & Wilayah Sabah (JPBW). Setakat ini, JPBW telah dipertanggungjawabkan untuk menerbitkan dua pelan struktur iaitu Pelan Struktur 2020 dan Pelan Struktur Sabah 2033.

 

KEPENTINGAN PELAN STRUKTUR KEPADA SABAH

Jumlah penduduk Sabah dijangka akan meningkat daripada 3.9 juta orang pada tahun 2018 kepada 5.5 juta orang menjelang tahun 2033. Pertambahan jumlah penduduk sudah tentu akan memberi impak yang besar terhadap pengurusan gunatanah Negeri. Antara persoalan-persoalan yang harus dihadapi oleh Kerajaan dalam menghadapi pertambahan penduduk adalah seperti:

  • Adakah keluasan tanah mencukupi untuk menampung pertambahan penduduk?
  • Adakah infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air, sekolah, hospital dan lain-lain mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk di masa hadapan?
  • Bagaimana memastikan sumber alam semulajadi di Sabah tetap dipelihara meski berhadapan pertambahan penduduk?
  • Bagaimana memastikan peluang pekerjaan dapat dihasilkan sejajar dengan pertumbuhan penduduk?

Oleh yang demikian, dasar perancangan gunatanah haruslah dirangka oleh Kerajaan bagi menyelesaikan persoalan-persoalan seperti di atas untuk memastikan keperluan sosio-ekonomi jangka panjang Sabah dapat dipenuhi secara mapan. Dasar perancangan gunatanah tersebut adalah berupa Pelan Struktur Negeri.

 

PELAN STRUKTUR SABAH 2033

Selaras dengan kehendak Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap. 141), Pelan Struktur Sabah 2033 telahpun digazetkan sebagai Warta Kerajaan pada tahun 2016 bagi menyelaras dan menterjemahkan dasar-dasar dan cadangan-cadangan kerajaan negeri kepada pelan perancangan gunatanah melalui Pelan Daerah dan Pelan Tempatan di setiap daerah di pelusuk negeri Sabah termasuklah di kawasan perairannya.

Berikut adalah salinan softcopy dokumen rasmi Pelan Struktur Sabah 2033 untuk paparan anda:

 

SOALAN-SOALAN LAZIM

  1. Bagaimana dasar-dasar yang terkandung dalam Pelan Struktur Negeri (PSN) dilaksanakan?
  2. Dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang terkandung di dalam PSN perlu diterjemahkan kepada Skim-skim Perancangan di setiap daerah di Sabah. Sebarang pembangunan yang hendak dirancang perlulah berlandaskan kepada Skim-skim Perancangan di sesuatu daerah tersebut. Klik di sini untuk maklumat lebih lanjut mengenai Skim-skim Perancangan di Sabah.

  3. Adakah dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang terkandung dalam PSN boleh diubah?
  4. Tertakluk kepada syor oleh Jabatan Perancang Bandar & Wilayah Sabah (JPBW) kepada Majlis Perancang Negeri, PSN boleh disemak semula di pertengahan tempoh perlaksanaan PSN dengan mengambilkira maklumat-maklumat sokongan terbaru seperti data statistik dan dasar-dasar Kerajaan lain yang berkemungkinan memberi pengaruh terhadap pembangunan gunatanah di Sabah.

  5. Bagaimana saya boleh mendapatkan salinan PSN terbaru?
  6. Pelan Struktur Sabah 2033 merupakan PSN terbaru yang telahpun digazetkan sebagai Warta Kerajaan. Sila ke kaunter ibupejabat JPBW untuk mendapatkan salinan hardcopy dokumen tersebut.