PROSEDUR KEBENARAN MERANCANG

PENGENALAN

Berdasarkan kepada Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap. 141), sesiapa sahaja yang ingin membangunkan kawasan tanah dimana-mana sahaja di seluruh negeri Sabah perlu mendapatkan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah berkenaan. Jabatan Perancang Bandar & Wilayah Sabah bertanggungjawab sebagai penasihat kepada semua PBT di Sabah dalam memastikan bahawa pelan-pelan pembangunan yang diserahkan oleh pemaju adalah selaras dengan skim-skim perancangan yang telah ditetapkan selain perlu mematuhi piawaian dan garispanduan perancangan.

Oleh yang demikian, sebelum mengutarakan pelan pembangunan ataupun sekiranya sesiapa sahaja yang berniat untuk membangunkan tanah mereka tidak kira di mana-mana sahaja di negeri Sabah, ada baiknya skim-skim perancangan diteliti agar pembangunan yang dilaksanakan terancang, teratur, seimbang dan selaras dengan dasar-dasar yang terkandung di dalam skim-skim perancangan berkenaan.

 

HIERARKI PERANCANGAN DI SABAH

Terdapat dua peringkat utama di dalam sistem perancangan di Sabah seperti berikut:

Berdasarkan kepada gambar di atas, Pelan Struktur Negeri merupakan dokumen perancangan tertinggi di Sabah. Sejak penguatkuasaan Ordinan ini, terdapat dua pelan struktur yang telah diterbitkan oleh JPBW iaitu Pelan Struktur 2020 dan Pelan Struktur Sabah 2033 (SSP2033). SSP2033 telah diwartakan sebagai dokumen statutori Kerajaan Negeri dan mengandungi dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang perlu diterjermahkan ke dalam skim-skim perancangan yang lebih terperinci iaitu Pelan Daerah dan Pelan Tempatan.

Dalam erti kata lain, segala kandungan dalam Pelan Struktur perlu diterjemahkan ke dalam Pelan Daerah ataupun Pelan Tempatan dalam bentuk zon-zon gunatanah dan piawaian dan garispanduan yang sejajar dengan zon tersebut.

Oleh yang demikian, dalam konteks ini, pemaju perlu memastikan pelan pembangunan yang dikemukakan adalah selaras dengan kandungan Pelan Daerah ataupun Pelan Tempatan kerana skim-skim perancangan ini secara dasarnya adalah hasil terjemahan daripada Pelan Struktur Negeri yang merupakan dasar pembangunan fizikal yang dikeluarkan oleh Kerajaan untuk dipatuhi.